اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Wednesday, September 15, 2010

Satu Hari Di Hari Raya..

 
                             Gambar Hiasan sahaja, tidak ada kena mengena dengan artikel
Kami sekeluarga tiba di perkuburan Taman Keramat dan parking di suatu sudut kawasan perumahan taman.. target menziarahi kubur Datuk saudara suamiku di situ..



Suasana awal kudapati orang ramai berpusu-pusu naik turun bukit ke kuburan tersebut.. agak letih bagi orang yang sudah berusia dan uzur untuk naik ke atas.. walaupun ramai orang, namun sangat aman dan tenteram.. di kiri kananku terdapat peniaga-peniaga yang sedang berusaha menjual bunga-bunga diletak di dalam plastik dgn harga RM2.00 sebungkus.. dan air mawar pun harga yang sama... sengaja kubeli 2 bungkus, kerana kejap lagi kami sekeluarga akan ke Perkuburan Ampang pula untuk menziarahi kubur arwah abang suamiku... cuaca pagi agak redup... nyaman sekali..



Kubur-kubur di situ kulihat biasa-biasa sahaja, tidak ada bunga-bunga yang berlebihan diletakkan di atas tanah kubur simati oleh warisnya. Adakah mereka sudah melupakan si mati?



Hemm.. mana kubur datuk saudara suamiku? Ahli keluarganya yang asli, iaitu anak-anak dan isterinya juga tidak tahu dan tidak pernah ambil tahu.. Sehinggalah dia meninggal dan dikebumikan di situ.. Kuburnya entah pernah dijengah atau tidak..Kenapa kukatakan demikian, datuk saudara suamiku dikatakan merajuk dengan isteri dan anak-anaknya dan membawa diri ke Kuala Lumpur... entahlah perselisihan faham apa yang berlaku.. hanya mendengar kisah sedihnya sahaja.. jadi tanggungjawab kami mencarinya semula.. aku masih tercari-cari namanya di batu nisan.. malu pun ada sebab anggota keluarga si mati yang lain, sudah duduk membaca Surah Yassin di kuburan keluarga masing-masing. Macamlah aku pandai sangat mencari.. akhirnya kuburnya ditemui oleh adik iparku. Alhamdulillah..



Suamiku serta keluarga mertuaku segera membersihkan kuburan. Sangat pantas mereka menyelesaikannya.. padahal aku masih terkial-kial mencari alat untuk membersih kubur tersebut. Aku lembab betul dalam soal ini, kenapa aku tak terfikir mencari apa yang ada di sekeliling untuk dibuat penyapu daun, contohnya ranting-ranting kayu yang melintang.. kalau diletak di dalam hutan, aku harap aku segera memahami jalan keluar dari hutan itu atau bagaimana cara untuk hidup di dalam hutan.. Oh tidak! kalau turunkan aku di Bandar Melaka sekalipun, belum tentu dapat mencari jalan pulang dan mencari peta untuk ke rumah. Apatah lagi di dalam hutan..! Tapi kalau aku diberi masa, InsyaAllah.. aku yang akan mengawal keadaan itu..



Selesai membuang dedaunan kering di kuburan datuk saudara suamiku, kami menabur hirisan daun pandan yang diwangikan pula dengan air mawar, suami membaca doa dan selepas itu kami berangkat menuju ke Perkuburan Ampang.. Aneh, suasananya sangat berbeza..



Memasukinya sahaja parking di situ, dikenakan RM5.00, aku teringat permulaan masuk KLCC beberapa tahun yg lalu... tapi skrg mencecah RM7.00.. tapi sekarang bukan di KLCC, sebaliknya di Tanah Perkuburan Ampang...yupp! aku mulai terfikir, bergerak sedikit sahaja memerlukan duit di Kuala Lumpur ini... berkepuk-kepuk duit ditangan penjaga parking, dimana rupanya seperti orang Bangladesh.. kenapa dia tak nak simpan je dulu wang tersebut..?



Sengaja kukuatkan suara, "Mahalnya parking.. macam nak masuk KLCC.." lalu suamiku memberi not RM10 kepadanya.. belagak! sikit dia tak pandang ke arah suamiku dan memulangkan not RM5 sebagai baki. Agaknya bengang sebab aku menyindir dia tadi. Hemm.. aku ni memang dah ketinggalan tentang kehdiupan di Kuala Lumpur. Mulutku memang tak ada insuran ni perlu aku tutup rapat-rapat sebenarnya demi kebaikan aku sendiri. Takut mengundang kemarahan orang. Pekerja parking tu tak pernah hidup susah kat Bangladesh agaknya. Getus hatiku. Aku masih tidak berpuas hati. Tunggulah balik nanti, akan kuhebahkan kat mana-mana `paper' masalah parking di Tanah Perkuburan Ampang terlalu mahal! cekik darah! apalah pilihan yang ada lagi..? masa berjalan, tempat parking area situ terhad.. bayar jelah... kemarahanku kalah dengan keadaan yang sungguh mendesak. Ikhlas dan redha sangat penting di saat ini.



Selepas selamat parking, kami teruskan langkah ke tanah perkuburan... memang meriah suasana di situ, di kiri kanan kami berderet2 manusia yang cukup anggota dan tak cukup anggota meminta duit sumbangan.. atau kelihatan seperti menunggu VVIP yang akan lalu dan menaburkan wang di sepanjang jalan itu... hanya seorang cacat anggota, yang lainnya kelihatan sempurna.. Sebaik ibu mertuaku memberi sedekah kepada seorang budak perempuan Myanmar yang terukir corak inai di tangannya, ibu mertuaku hampir terjatuh diserbu oleh peminta sedekah yang lain.. mujurlah keadaan cepat terkawal...



Gelagat seorang wanita Myanmar mencuri pandanganku.. sifatnya juga sempurna.. dipangkunya seorang bayi.. entahlah dari jam berapa dia duduk di situ.. bayinya keletihan.. kemudian kulihat sebelah kananku, ada juga yang berbangsa Cina..berseluar pendek paras lutut (seperti pelanggan di kedai kopi) dan seorang lagi juga berbangsa Cina berkepiah putih, mungkinkah mualaf.. sabar menunggu tangan-tangan ihsan memasukkan wang ke dalam bekas yang dipegangnya..kemudian kutoleh pula ke kiri, lelaki berbaju melayu hitam, duduk segak bersongkok sambil menadah bekas di tangannya.. tapi ditutupnya muka dengan kain selendang hitam... knp enggan wajah dilihat..? tapi dari bentuk badan masih kuat dan bergoyang kakinya, santai... terdetik dalam hatiku, bukankah dia masih muda dan bertenaga? kenapa dia tidak bekerja bagi menyara hidupnya?



Aku gelisah melihat lelaki melayu yang duduk sebelah menyebelah di mana salah seorang darinya berkacamata, dapat kubaca nota bertulisan tangan di kertas kotak yg disandarkan pada sebuah tin.. bunyinya lebih kurang begini,"tolonglah bantu saya, anak saya dimasukkan ke hospital di Johor Baharu kerana sakit jantung, jadi saya memerlukan wang untuk tujuan rawatan..." bunyinya sangat menyedihkan. Tidak adakah jabatan yang berkenaan membantu lelaki ini? jumlahnya tentu banyak.. dan adakah hasil wang sedekah di pagi raya ini cukup untuk biayai rawatan anaknya? Kepada sesiapa yang berkenaan, tolonglah lelaki ini apa yang sepatutnya.. cuma aku tidak faham mengapa mesti di situ dia meminta bantuan. Tidak adakah masyarakat prihatin di luar sana? mana Jabatan Kebajikan Masyarakat? Bukankah pihak Jabatan Agama Islam Selangor pun perlu memantau Tanah Perkuburan Ampang pada pagi raya ini? Di bawah pengawasan siapa sebenarnya?



Kami lewati perkuburan layaknya seperti perkuburan orang yang masa hidupnya kaya..atau warisnya yang kaya kerana mampu membina kubur yang cantik... siap dengan batu-batu putih tersusun rapi.. Tiba-tiba anak lelakiku ingin membuang air kecil, dibawa suamiku ke tandas lelaki sebelah pejabat. Kujejaki keduanya segera kerana anak perempuanku pula ingin membuang air kecil. Di sebelah tandas lelaki adalah tandas perempuan, tapi disebabkan kegelian melihat air yang dijirus pengguna tandas perempuan mengalir keluar, dia tidak jadi membuang air.. kemudian seorang lelaki berbaju melayu bersungut sungut,"Ini DBKL lah ni tak jaga tandas.. bukan tak ada yang datang tengok, tapi tak buat apa-apa...", dengusnya. Kuleretkan mataku melihat dia membawa sebotol air ke kuburan yang diambil dari luar tandas tadi.. nampak dia seperti sudah biasa datang ke situ..



Aku jadi bertambah bingung apabila dapat kulihat suatu pemandangan yang tak pernah aku lihat sebelum ini.. ada kubur betul-betul di depan tandas! Astagfirullahhalazim.. kubur ini dibina dahulu atau tandas ini dibina dahulu? walau apapun tidak pantas kubur ini dibina di depan tandas, malah tidak patut tandas dibuat betul-betul di depan kubur! mengucap panjang aku dibuatnya..



Lalu aku mengambil keputusan duduk di depan pejabat, sebelah tandas, sambil menunggu suami dan anak lelakiku yang masih beratur nak masuk ke tandas lelaki.. kasihan betul anak kecilku itu..



Duduk sahaja di bangku, aku lihat atas mejanya satu permainan dam/catur dimainkan oleh 2 orang anak gadis kecil. Nampak seperti mereka sudah biasa sahaja di situ.



Kemudian aku terpandang kepada satu keluarga yang duduk di sebuah kubur golongan kaya.. seorang lelaki dan anak-anak gadis remaja di mana salah seorangnya agak montel dan memakai baju kebaya ketat.. berbonjol keluar..dan semua anak gadis tersebut tidak bertudung! MasyaAllah, boleh ke masuk ke perkarangan kubur tidak menutup aurat? kenapa tidak disediakan tudung atau selendang di pintu masuk ke kawasan kubur? Hemm.. aku terlalu berfikir tentang hukum.. aku juga mungkin melanggar hukum.. asyik berfikir.. takut mendatangkan umpat hati tanpa disedari.. Astagfirullahhalazim..



Tiba-tiba seorang perempuan datang bertanya siapa penjaga kubur..? kemudian budak yang bermain dam tadi berhenti dan mencari orang yang bertanggungjawab menjaga kubur. Aku diam sahaja dan terpaksa kutadahkan telinga mendengar perbualan mereka..



"Pak Cik, mana kubur mak saya? saya cari kubur mak saya.. dia meninggal tahun 1991..." kata perempuan tersebut. Bergegas Pak Cik penjaga kubur membantunya mencari senarai nama simati dalam pejabatnya... sedangkan darahku berderau 2, 3 kali kerana terfikir bagaimana perempuan ini mencari kubur ibunya sendiri? tidakkah dia tahu? kenapa dia baru mencari kubur ibunya sendiri? peristiwa apa yang dialaminya hingga selama itu 1991 - 2010 dia tidak mencari kubur ibunya? ataukah dia masih kecil tidak mengerti apa-apa pada waktu itu.. pabila besar baru dia mencarinya semula? pelbagai persoalan bermain dibenakku.. tapi sengaja tidak kugali lagi akan jawapannya, memandangkan aku tidak tahu masalahnya yang sebenar. Kalau berterusan, aku boleh jadi bingung seharian itu..



Sebaik dia berlalu dengan penjaga kubur mencari kubur ibunya di kawasan perkuburan di sebelah kananku, datang pula seorang perempuan tergesa-gesa dan cemas.



"Siapa jaga kubur ni? mana orangnya?" seorang budak perempuan kedua yang masih bermain dam tadi,berlari pula mendapatkan penjaga kubur tadi.. sambil menunggu dia membebel seorang diri tapi suaranya jelas sekali..hingga membuat aku ringan mulut bertanya..



"Kenapa kak..?" soalku. Aduh! tak pernah-pernah aku menyibuk hal orang lain.. kenapa sibuk nak tanya ni.. getus hatiku..



"Kubur mak akak dah tak ade!" katanya. Hah! aku terkejut. Seperti sebuah kubur telah ghaib dari pandangan mata.



"Macamana jadi macam tu, kak?" aku membalas walau aku rasa seperti orang bodoh bertanya kepadanya. Mana boleh kubur hilang! lainlah kena sedut dek bumi! fikirku lagi.



"Padahal akak selalu datang ziarah kubur mak akak tu, takkan boleh hilang!" getusnya lagi. Perlu ke aku berbual lagi dengannya..? Pelik dan ajaib. Aku bertambah bingung. Kubur hilang? Majalah Mastika kena datang siasat ni.



"Err.. kalau akak selalu datang, takkan tak ingat kubur kat mana, kan.." alahai, aku jawab buat apa..? konon2 nak tenangkannya dan risau juga difikir sombong walau tidak mengenali dia. Sebaliknya mungkin aku hanya menambah kerunsingannya..nampak sangat tak pandai menyibuk.



Kemudian penjaga kubur pun datang dalam keletihan.. jauh manalah kubur mak perempuan tadi dicarinya.



"Ha Pak Cik, kubur mak saya hilang! saya ingat kubur mak saya tu.. kat pokok besar tu ada akar tumbuh keluar ke atas kubur.. macamana boleh hilang! dia orang kat situ kata kubur yang saya ziarah tu bukan kubur mak saya! itu kubur mak sayalah! mana pergi batu nisan mak saya? batu nisan pun dah tak ada!" Penjaga kubur macam sedikit pening dengan dakwaan perempuan tersebut. Suara perempuan tu sangat kuat.. kerana tidak berpuas hati. Kemudian dia cuba bertenang dan menjelaskan satu persatu kembali.. di mana ibunya meninggal pada tahun 1976.. lama juga tu...tapi dia selalu datang, katanya.. macamana kubur ibunya boleh hilang?



Aku biarkan sahaja Penjaga Kubur melayani wanita itu. Aku harap dia jumpalah semula kubur ibunya yang dia selalu ziarah tu.. Kisah hidupnya yang aku sendiri tidak tahu menahu... yang aku tahu sekarang, aku mulai terasa kepalaku semakin berdenyut-denyut..



Selesai anak lelakiku membuang air kecil, kami sekeluarga menuju ke pusara arwah abang suamiku.. arwah meninggal semasa umurnya baru mencecah 1 bulan.. namun kubur yang kulihat bukan kubur seorang bayi, sebaliknya kubur seorang yang telah dewasa. Mungkinkah dia turut membesar dan kepungan batu telah dibuat kerana kuburnya semakin memanjang dari tahun ke tahun..? kalau dia hidup mungkin umurnya sudah 40 an... inilah fenomena alam yang pernah aku lihat bukan pertama kali dalam hidup... semasa aku kecil dahulu aku pernah menjejaki kubur orang-orang lama bersama orang-orang dewasa di kampungku.. pernah kulihat kuburan sepanjang 10 kaki dan 15 kaki.. mungkinkah orang-orang lama ini semasa hayatnya sangat tinggi ukurannya? Malah ramai penduduk tahu di Pulau Besar, Melaka terdapat kubur yang ukurannya sangat panjang di situ. Mungkinkah kepungan dibuat kerana tanah tersebut bergerak perlahan-lahan dan memanjangkan kuburan tersebut? wallahualam. Aku tidak percayakan khurafat, tapi sekadar apa yang kulihat. Sesungguhnya KUN FA YAKUN hanya Allah yang mampu melakukannya.



Semasa di kubur arwah abang suamiku, kami sama-sama tersenyum sengih melihat sebuah batu nisan kelihatannya seperti disimbah cat merah, bersepah. Aku teringat gambar hadapan akhbar tempatan rumah Pelakon Wan Nor Azlin disimbah cat merah oleh `Along' kerana suaminya gagal membayar hutang. Kenapa dengan kubur si mati ini? Apakah `Along' berdendam dengan si mati? kami segera beristigfar...



Selesai berdoa, kami menuju pulang.. mataku terlihat ada sebuah kubur yang telah hidup subur pokok renek di atas kuburnya dan sudah cukup cantik pada mataku.. namun orang yang menziarah kuburnya menambah lagi dengan bunga orkid pelbagai warna dan diikat plastik berisi air dan kapas, di batu nisan keduanya.. supaya dapat bertahan lama.. kasihan kulihat bunga orkid disiksa sebegitu rupa.. seperti orang keadaanya dipaksa dan diikat di sebatang pokok.. hemm..jauh pula imaginasiku..



Perkuburan di situ tidak bersistematik, jadi sukar untuk kami berjalan keluar.. mungkin tidak biasa dengan selok belok kuburan di situ, membuat aku agak berhati-hati supaya tidak terbabas jatuh. Kuingatkan supaya anak-anakku berhati-hati bimbang tergelincir. Akhirnya kami tiba di jalan tengah antara kubur di kiri kanannya..



Astagfirullahhalazim.. aku hampir ketawa dengan gelagat keluarga waris si mati, kerana terdapat suatu tempat di mana kuburan di situ seperti ada perlawanan kubur siapa yang paling dihias cantik.. mungkinkah aku terlepas melihat acara tersebut semasa ianya dimulakan... kenapa aku berkata sedemikian?



Sebuah kubur ini telah dihias sebegini rupa.. ada bunga berwarna putih, ada bunga berwarna biru! diselangkannya bunga-bunga tersebut seperti Pesta Deepavali hingga menutupi seluruh kubur simati. Malah diletakkannya pula sebuah payung Jepun berwarna merah (Sederhana kecil sahaja) di tengah-tengah kubur tersebut! Adakah ini perkara biasa atau aku saja yang tidak pernah lihat.. Kubur di sebelahnya pula dipenuhi bunga orkid, hingga tidak nampak walau sedikit tanah kubur di atasnya.



Ya Allah! kenapa semua ini kulihat pada hari ini? apa yang hendak aku tafsirkan untuk pratonton ini di hadapanku..? Adakah aku terlalu naif dan tidak moden dalam masyarakat hari ini? Ibu mertuaku seperti memahami gelodak dijiwaku, " biarlah kat dia orang nak buat apapun, dengan cara masing-masing.." pergh! sinis kena di cuping telingaku.. tapi ayatnya sangat benar.



Kenapa aku hendak memikirkan apa-apapun tentang orang lain di situ? hingga hiasan kubur pun hendak kufikirkan? Seperti aku 'busy body' dengan kubur... padahal aku tidak suka `busy body` dengan teman-teman kerja hatta jiran sebelah rumahku.. kalau orang tegur aku tidak pernah sombong, jiran memberi juadah makanan, akan kuusahakan juga membalas makanan walau aku hanya membeli murtabak Family/Special di restoran Ikan Bakar Malim di Ayer Keroh, Melaka.



Bagaimana aku hendak memasak makanan kepada jiranku itu, sebab apa yang kumasak mungkin hanya sedap dimulut suami dan anak-anakku sahaja... aku tidak mahu menyinggung jiranku itu, sebab bubur pulut hitam yang dia beri walau kosong tanpa bahan apa-apa, tapi enak dimakan.



Aku terfikir tentang keikhlasannya.. Biasanya kalau kita ikhlas, makanan kita akan menjadi sedap serta merta tanpa perlu menjadi pakar masakan. Tapi aku masih tak sanggup masak untuk jiranku makan. Maafkan aku jiran, aku tak pandai masak walau aku ikhlas orangnya.. lagipun aku tak tahu nak masak apa untuk diberi kepada jiranku itu.. dia seorang mamak Muslim yang telah berkeluarga. Mereka dijangka setahun sahaja menyewa di rumah sebelah rumahku itu.. beerti mereka akan menjadi jiran setahun sahaja kepadaku.. tapi mereka tetap jiranku.. kenapa aku tak cuba mengenali budaya mereka dan pemakanan mereka..? satu hari aku kena juga masakkan sesuatu untuk mereka. Biar mereka makan dan merasa air tanganku sendiri. Ini tidak, sikit-sikit beli sikit-sikit beli.. lupakan sekejap perihal jiranku tadi. Kembali ke tanah kubur ini..



Ya! kuburan ini juga telah berjiran di antara satu sama lain.. mereka tak saling kenalpun. Malah kejiranan baqa ini sehingga dibangkitkan di hari akhirat kelak. Tubuhku serta merta menjadi gementar... bila ingatkan kematianku yang mungkin bila-bila sahaja akan berlaku.. adakah kuburku akan dihias sebegitu rupa juga oleh ahli keluargaku nanti? atau dibiarkan sepi tanpa bacaan ayat-ayat suci sekalipun! Astagfirullahhalazim.. ya Allah, kupohon padamu dengan kesudahanku yang baik.. CUKUPLAH ENGKAU BUATKU.. akan kuberpesan kepada anak-anakku, supaya jangan berlebih-lebihan dalam soal dunia... semoga anak-anakku tidak lalai..



InsyaAllah, amin..



Wahai orang mati lama dan mati baru, maafkan aku ya! ternyata aku telah melampaui batas.



Perjalanan menuju ke pintu keluar kami teruskan dengan melihat-lihat terus suasana di situ.. dalam ramai-ramai peminta sedekah, aku menyuruh anak perempuan keduaku memberi sedekah kepada seorang lelaki tua yang duduk di suatu sudut kubur.. dia tidak menadah tangannya. Tapi di depannya ada beberapa keping syiling yang diberi oleh penziarah kubur.. suasana agak berbeza sedikit dari mula aku masuk tadi.. Tadi mereka sibuk meminta sedekah, tapi waktu ini mereka mulai selamba sahaja.. malah ada yang duduk sambil makan-makan, bergelak ketawa sesama mereka.. peminta sedekah kanak-kanak pula memakan aiskrim yang dibeli.. mereka sangat gembira.. aku hampir tidak dapat mengecam yang mana peminta sedekah dan yang mana penziarah kubur..akhirnya kami keluar dari situ...dan pulang ke rumah bagi menyambut kedatangan tetamu ke rumah pula. Sebanyak 4 buah keluarga telah datang pada malam raya pertama..



Syukur alhamdulillah, semuanya sudah selesai pada hari ini... tetapi bagaimana aku boleh selesai dengan tuhan yang memberi pinjaman nafas kepadaku ini..? Ya Allah, aku tidak tahu, KAU lebih tahu.. tunjukkanlah aku ke jalan yang KAU diredhai... Kesilapan aku sangat besar pada hari ini, KAUlah yang lebih tahu kesilapan seperti apa yang aku telah lakukan dari kisahku sebagai seorang hamba yang terpaksa berhadapan dengan kehidupan bersyariat ini.. namun, berilah aku kesempatan membetulkan walau sebesar zarah cukuplah kesilapanku pada hari ini. Kurangkanlah bebanan dosaku Ya Allah... aku tak sanggup terima walau sebesar zarah hukumanMU buatku.. aku takut kepadamu Ya Allah... kerana kau sangat BERKUASA.
"ALLAHUMMAGHFIR LI WALI WALIDAYYA WALIL MUSLIMIN MUSLIMAT MU'MININ MU'MINAT AL-AHYAAI MINHUM WAL AMWAAT"

No comments:

Post a Comment